Orang asli suku kaum Mahmeri impikan sebuah pusat dakwah
“Selepas penyerahan bantuan makanan ini selesai kami nak jemput haji melawat tapak pusat Islam di belakang ni boleh?” Saranan cikgu Maisitah seorang guru di sekolah berdekatan. Beliau juga adalah sukarelawan yang membantu Al-I’tisam menguruskan Program Bantuan Covid 19 dikampung orang asli Sungai Judah.
Kami kagum dengan kesungguhan beliau ingin menyebarkan Islam dikalangan masyarakat orang asli Mahmeri di situ.
Selesai sahaja program, kami terus ke kawasan kelapa sawit tidak jauh dari situ. En. Sulaiman suami kepada Cikgu Maisitah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Pusat Islam tersebut menjelaskan kenapa pusat Islam ini perlu segera dibangunkan.
Menurut beliau surau terdekat ialah lebih kurang 10 KM dari lokasi kami berada. Jarak ini menyukarkan mereka untuk berulang-alik samada untuk tujuan menghadiri kuliah ataupun solat berjemaah. Tambahan pula penduduk kawasan tersebut terdiri daripada nelayan pantai yang kais pagi makan pagi. Kebanyakan mereka tidak mampu memiliki kenderaan seperti motosikal dan sebagainya.
Semasa NGO Al-I’tisam menyerahkan bantuan makanan kepada mangsa Covid 16 sebelumnya, kami dapat bertemu dengan beberapa saudara baru. Mereka menyampaikan hasrat mereka untuk lebih mendalami tentang ugama Islam supaya mereka juga dapat menjalani kehidupan dengan ilmu yang benar seperti umat Islam yang lain.
Perkara yang menarik perhatian kami ialah kebanyakan saudara baru ini dari kalangan remaja yang menerima Islam hasil pergaulan dengan rakan sekolah dan bimbingan guru-guru mereka. Kami bersyukur kerana IbuBapa mereka yang belum menerima Islam tidak menentang hasrat mereka memilih Islam sebagai jalan hidup.
Antara sebabnya ialah keluarga orang asli disini sudah lama bergaul dengan jiran orang asli yang terlebih dahulu menerima Islam namun kemungkinan Islam tidak dapat disampaikan oleh kerana ilmu dan kemampuan yang terhad.
Oleh yang demikian, Ahli Jawatankuasa Pembangunan Pusat Islam ditubuhkan. Hasrat mereka ialah untuk mengajak orangramai umat Islam di Malaysia membantu mereka agar projek ini dapat segera dilaksanakan.
Kepada sesiapa yang berminat untuk membantu boleh menghubungi kami dengan segera di nombor telefon yang diberikan. Kami dengan sukacita akan memperkenalkan tuan puan kepada Jawatankuasa yang ada untuk berbincang secara terus dengan mereka.
Walau bagaimana pun jika ada yang ingin menyumbang, sumbangan tuan puan boleh disampaikan kepada kami melalui akaun bank dibawah;
Sila hubungi 012-5271880 atau 03-78461880 untuk maklumat lanjut.