Sumbangan rakyat Malaysia untuk Masjid Al-Aqsa tak sampai?

Penjelasan Al-I’tisam Relief Program Association

Shah Alam : Rabu, 19hb Feb 2020

Sumbangan Rakyat Malaysia Untuk Masjid Al-Aqsa Tak Sampai?(Dana rakyat Malaysia untuk Masjid al-Aqsa diseleweng?)

  • Kami merujuk kepada berita bertajuk seperti di atas yang sedang viral di pelbagai media terutama media sosial sekarang ini. Pihak akhbar yang menerbitkan berita tersebut memetik kenyataan Duta Palestin di Malaysia, Walid Abu Ali semalam.
  • Bagi pihak NGO Al-I’tisam Relief Program Association, kami ingin menegaskan bahawa kenyataan tersebut sangat mengelirukan dan telah menimbulkan banyak sangkaan buruk serta fitnah terhadap NGO-NGO tempatan terutama yang menjalankan aktiviti-aktiviti kebajikan di Palestin.
  • Berikutan tersebarnya berita yang mendukacitakan ini, ada pihak-pihak tertentu tanpa kefahaman yang jelas tentang titik perkara sebenarnya serta bagaimana tatacara pihak NGO menjalankan aktiviti-aktiviti mereka, terus menyerang dengan pelbagai tuduhan kepada pihak NGO.
  • NGO Al-I’tisam Relief Program Association adalah salah sebuah NGO yang terlibat dalam kerja-kerja kebajikan di Palestin termasuk di Gaza, Baitulmaqdis dan West Bank sejak tahun 2013 lagi.
  • Untuk makluman semua rakyat Malaysia dan para penyumbang kami, NGO Al-I’tisam Relief Program Association (dan kami yakin sebahagian besar NGO Malaysia malah mungkin juga semua), menjalankan aktiviti kami di Palestin dan di mana sahaja di dunia ini melalui kerjasama dengan NGO-NGO berdaftar di negara di mana projek itu dilaksanakan.
  • Oleh yang demikian, dana hasil SUMBANGAN RAKYAT MALAYSIA, akan kami salurkan SECARA LANGSUNG kepada rakan NGO kami BUKAN kepada pihak kerajaan termasuk Pejabat Wakaf Baitulmaqdis.
  • Kami yakin ini adalah cara yang terbaik, telus dan memberi kepastian bahawa perbelanjaan projek kami terkawal, dan yang paling utama mengikut perancangan.
  • KAMI MENAFIKAN SEKERAS-KERASNYA KENYATAAN PIHAK DUTA YANG MENGATAKAN PIHAK NGO MENGAMBIL 30% KE 40% DARIPADA SUMBANGAN SEBAGAI KOS OPERASI.
  • NGO Al-I’tisam dengan telus memaparkan secara umum pada laman sesawang yang menyatakan bahawa kami hanya mengambil sebanyak satu perlapan sahaja (12.50%) daripada sumbangan untuk tujuan kos pentadbiran. Sila rujuk https://alitisam.com/donation-page/ untuk penerangan lanjut.
  • Akhir sekali, kami ingin menyeru kepada semua pihak untuk BERHENTI MENGELUARKAN KENYATAAN-KENYATAAN BERUNSUR NEGATIF dan tohmahan yang boleh mengeruhkan lagi keadaan.

Mari lah kita sama-sama mengeratkan perpaduan di antara satu sama lain dan mengelakkan lubang-lubang fitnah terbuka yang membolehkan musuh-musuh Islam menyelinap masuk dan menghancurkan perpaduan kita.

Sekian, terima kasih.

Mohd Shah Sapiei
Pengerusi / CEO 
Al-I’tisam Relief Program Association